Monday, July 06, 2015

Sejarah Sekolah


            Sekolah ini terletak kira-kira 45 km dari Bandar Semanggang (Sri Aman), Bahagian Sri Aman, Sarawak. Sekolah ini terletak di tepi Sungai Skrang. Sekolah Kebangsaan Nanga Skrang ditubuhkan pada tahun 1963. Pada peringkat permulaan bangunan sekolah dibina secara gotong-royong oleh orang-orang kampung diketuai oleh Ketua Kampung En. Awang anak Rawing (Bekas Sarawak Rangers yang telah menerima Pingat George Cross) dengan bahan yang disumbangkan oleh Syarikat Kilang Kayu yang berdekatan dengan sekolah iaitu Simanggang Sawmill Sdn. Berhad.



        Pengasas Sekolah Kebangsaan Nanga Skrang adalah Tuai Rumah Awang anak Rawing. Beliau adalah bekas Sarawak Rangers yang telah berkhidmat di Semenanjung Malaysia pada masa Darurat. Beliau telah dianugerahkan Pingat Keberanian British Army yang mendapat gelaran George Cross. 
   
        Pada tahun 1962, beliau membawa beberapa orang Ketua Kampung yang berdekatan menubuhkan sebuah sekolah di kawasan mereka. Beliau membawa usul tersebut ke Pejabat Pendidikan Sri Aman yang dahulu dipanggil Simanggang. Mereka dibenarkan menubuhkan sebuah sekolah dimana bangunan sekolah dan rumah guru dibuat secara gotong-royong. Pejabat Pendidikan akan menghantar guru apabila bangunan sekolah itu siap dibina.

        Beliau meminta bantuan daripada Pengurus Kilang Papan yang berdekatan untuk menyumbangkan bahan binaan untuk membuat bangunan sekolah. Beliau sendiri menghadiahkan sebidang tanahnya seluas tiga ekar lebih untuk kegunaan tapak sekolah. Pada bulan Disember 1962, bangunan sekolah telah didirikan.

       Beliau telah menjadi Pengurusi Jawatankuasa Sekolah ini dari tahun 1963 hinggalah pada tahun 1987. Setelah beliau berhenti menjadi Askar Sarawak Rangers, beliau menjadi seorang petani dan menjadi Tuai Rumah Panjang dan mempunyai lima orang anak.

         Pada Tahun 1967 bangunan baru dengan empat buah bilik darjah dan sebuah rumah guru telah dibina dan dirasmikan oleh bekas Ketua Menteri Sarawak Datuk Penghulu Tawi Sli pada 13 Januari 1968. Bangunan tersebut telah digunakan hingga sekarang. Pada tahun 1994 sebuah bangunan asrama, dewan makan dan dapur telah dibina mengganti yang lama telah dibina secara gotong-royong.

         Pada tahun 1997, sebuah rumah guru kelas F telah dibina dan menjadi rumah guru besar sehingga sekarang. Selain itu, sebuah lagi bangunan (Rumah Sebiro) telah dibina sebagai rumah guru yang mempunyai satu blok dua unit untuk dua keluarga.
         
         Pada akhir tahun 2011, bangunan utama sekolah telah diperbaiki akibat bangunan telah terlalu uzur. Pada kali ini, bangunan tersebut telah membesarkan bilik guru, membaiki dinding bangunan yang rosak dan mewujudkan kelas untuk Pra Sekolah pada banguan tersebut.

Nama Sekolah

       Sekolah ini diberi nama Sekolah Kebangsaan Nanga Skrang kerana terletak di Kuala Sungai Skrang. Nanga bermaksud Kuala. Dua buah rumah panjang atau kampung yang berdekatan dengan sekolah ini juga dipanggil Kampung Nanga Skrang. Iaitu Kampung Nanga Skrang Ulu Rh. Tugang anak Tair dan Kampung Nanga Skrang Hilir Rh. Awang anak Rawing. Pada Masa kini sekolah ini dinamakan "SEKOLAH KEBANGSAAN NANGA SKRANG, SRI AMAN, SARAWAK"

No comments:

Post a Comment